
MACHANG, 14 Mac – FELCRA menyambut baik saranan langkah penjimatan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan memperincikan pelaksanaannya dalam tempoh terdekat.
- FELCRA akan memperincikan pelaksanaan langkah penjimatan melalui mesyuarat pengurusan tertinggi.
- Sebahagian kakitangan mungkin dibenarkan bekerja dari rumah sebagai salah satu langkah penjimatan.
- Mesyuarat pegawai seluruh negara akan dijalankan secara dalam talian untuk menjimatkan kos.
- FELCRA kekal memberikan perkhidmatan tanpa gangguan sambil mengekalkan prestasi baik dan agihan dividen.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata satu mesyuarat bersama pengurusan tertinggi akan diadakan bagi menetapkan garis panduan berkaitan langkah penjimatan tersebut.
Antara pendekatan yang sedang dipertimbangkan termasuk membenarkan sebahagian kakitangan bekerja dari rumah (WFH).
“Kita sedar kebertanggungjawaban ini adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian. Selepas kita adakan mesyuarat, kita akan meletakkan garis panduan apa yang perlu dan tidak, maka ia akan berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas Majlis Penyerahan Zakat FELCRA kepada pelajar asnaf di Sekolah Kebangsaan Sungai Bagan, di sini.
Selain itu, mesyuarat melibatkan pegawai FELCRA di seluruh negara juga akan dilaksanakan secara dalam talian bagi menjimatkan kos, selain memastikan hanya program yang benar-benar perlu serta memberi impak kepada organisasi diteruskan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah penjimatan itu tidak akan menjejaskan operasi FELCRA serta perkhidmatan kepada peserta dan rakyat.
Sementara itu, FELCRA mencatat prestasi memberangsangkan apabila mengagihkan dividen keuntungan tahun 2025 berjumlah RM632 juta kepada lebih 71,000 peserta seluruh negara.
Menurutnya, pihaknya tekad mengekalkan prestasi tersebut pada tahun ini melalui pengurusan ladang yang lebih cekap serta strategi operasi yang lebih berkesan.