DILI, 1 Februari- Pemeterian perjanjian antara antara syarikat Malaysia, Weststar Aviation dan syarikat minyak Timor Leste Petroleo (Timor GAP) merupakan satu pencapaian penting ke arah memperkukuh hubungan dua hala Malaysia - Timor Leste.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau optimis kerjasama itu akan diperluas ke arah memperkasa kedudukan ekonomi serantau.
"Kita menyaksikan syarikat Malaysia dan Timor Leste boleh bekerjasama menerusi jalinan kerjasama Timor GAP dan Weststar dalam satu pelaburan besar dalam usaha menyokong sektor penerbangan di Timor Leste.
"Kami yakin dan optimis ini adalah permulaan kepada usaha sama dalam bidang pelaburan dan perdagangan antara Timor Leste dan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão di Pejabat Perdana Menteri bertempat di sini.