fb fb fb fb fb

Waris mangsa tersepit pintu lif terima faedah PERKESO

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

GEORGE TOWN, 30 Disember - Waris kepada pekerja penyelenggara yang maut dalam insiden kepala tersepit pada pintu lif semasa melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah kompleks beli belah baru-baru ini menerima dua faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata memandangkan mendiang masih belum berkahwin Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat FPM bernilai RM2,000 itu akan diberikan kepada ibu bapa mendiang.

Menurutnya, waris menerima faedah menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

"PERKESO juga telah mengesahkan bahawa keluarga mendiang berhak terima faedah orang tanggungan jadi saya harap dan takziah kepada keluarga mendiang. Kita harap mereka bersabar dan sekurang-kurangnya boleh ringankan beban keluarga," kata Steven Sim, di sini.

Terdahulu, seorang pekerja penyelenggaraan maut selepas kepalanya tersepit di pintu lif sebuah kompleks beli-belah dekat Jalan Burmah, di sini.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, R Tinesh Kumar, 28 tahun yang ketika itu sedang membaiki lif bersama-sama seorang lagi rakannya maut di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

TETITIA YUSOFF