fb fb fb fb fb

Warga Wilayah Persekutuan diseru jaga tradisi, pelihara budaya semai perpaduan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Januari- Warga Wilayah Persekutuan diseru menjaga tradisi, pelihara budaya dan menyemai perpaduan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam perutusannya sempena Hari Wilayah berkata, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan Wilayah Persekutuan terus makmur, aman dan sejahtera.

Beliau berkata Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, mempunyai cerita yang tersendiri.

"Kuala Lumpur, jantung ekonomi negara, Labuan, permata di perairan yang menjadi pintu kepada peluang antarabangsa, manakala Putrajaya, pusat pentadbiran negara.

Katanya, di sebalik bangunan tinggi dan jalan yang sibuk, terdapat jiwa-jiwa yang saling menyokong, membantu dan menjaga.

Tambahnya, apa maknanya sebuah kota besar jika penghuninya tidak berpegang kepada nilai kemanusiaan dan kasih sayang.

Beliau mengajak semua penduduk wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya untuk melangkah ke hadapan dengan hati yang terbuka dengan membawa kebaikan dan semangat baharu.

"Mari kita buktikan bahawa kemajuan bukan hanya tentang bangunan yang megah, tetapi tentang nilai-nilai yang dipegang erat", katanya.

Beliau percaya, setiap usaha kecil memberi impak yang besar bagi membentuk komuniti yang lebih baik dan terus bersatu dalam memastikan setiap langkah yang diambil, membawa kebaikan untuk generasi akan datang.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Wilayah Persekutuan 2025 kepada semua warganya.

ROSLINA BINTI DIN