fb fb fb fb fb

Warga Maritim disaran jadikan Ramadan medan perbaiki diri

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin menghadiri Majlis Penyerahan Bingkisan Raya Maritim Malaysia anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil Maritim Malaysia di Ibu Pejabat Maritim/Foto Maritim

PUTRAJAYA, 26 Mac – Pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) disaran menjadikan bulan Ramadan tahun ini sebagai medan bagi memperbaiki diri khususnya dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang telah diamanahkan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan Zon Maritim Malaysia.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, warga Maritim perlu meletakkan integriti sebagai tunjang utama dalam diri masing-masing terutamanya ketika melaksanakan tugasan di perairan negara.

"Pegawai dan anggota yang mempunyai sikap berkenaan akan menjadikan imej dan kualiti perkhidmatan Maritim sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan dipandang tinggi di mata masyarakat," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyerahan Bingkisan Raya Maritim Malaysia anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil Maritim Malaysia di Ibu Pejabat Maritim di sini, hari ini.

Pada program tersebut, sebanyak 2,500 kotak bingkisan raya bakal diagihkan kepada petugas-petugas penguat kuasa agensi ini melalui Ibu Pejabat, Maritim Negeri, Stesen Udara Maritim Subang (SUMS), Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA). 

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia Mohd Norzam Mustapa.

"Melalui sumbangan ikhlas ini ia sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan perasaan rindu pegawai dan anggota yang bertugas berjauhan daripada keluarga sempena hari raya nanti," katanya.

Selain penyerahan bingkisan raya, program kali ini turut dimeriahkan dengan penyediaan 30 kilogram bubur lambuk untuk diedarkan kepada warga Ibu Pejabat Maritim Malaysia di samping Majlis Berbuka Puasa bersama warga Maritim Malaysia hari ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN