Warga Indonesia maut dihempap lori simen

FOTO JBPM PULAU PINANG

GEORGE TOWN, 6 Februari – Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas sebuah lori simen terjatuh dan menghempap mangsa dalam satu kejadian kemalangan jalan raya di tapak pembinaan berhampiran Hospital Pulau Pinang, Jalan Residensi, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi dalam beberapa minit.
  • Operasi menyelamat menggunakan peralatan khas kebombaan dan bantuan kren dijalankan di tapak.
  • Mangsa berjaya dikeluarkan tapi disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM.
  • Mayat diserahkan kepada polis dan operasi JBPM ditamatkan selepas semua tindakan selesai.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.29 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak tiba di lokasi enam minit kemudian.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila lori simen berkenaan dipercayai hilang keseimbangan semasa menjalankan kerja-kerja pembinaan, menyebabkan kenderaan itu terjatuh dan mangsa tersepit di bahagian pemandu.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba segera melakukan penilaian situasi dan menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas kebombaan dengan bantuan sebuah kren yang berada di lokasi kejadian.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 12.55 tengah hari, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.16 tengah hari,” katanya.

Seramai 13 anggota bomba termasuk penyelia terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan beberapa jentera.