fb fb fb fb fb

Warga emas mengaku tidak bersalah, cederakan lelaki di pusat beli-belah

Warga emas Abdul Razak Ismail, yang tular kerana bertindak menampar seorang lelaki bukan Muslim di kedai serbaneka sebuah pusat beli-belah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 19 Mac- Seorang lelaki warga emas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki bukan Muslim pada Ahad lalu.
 
Orang kena saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
 
OKS didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Elijah Ling Zhao Zhong, 21 tahun, di sebuah kedai serbaneka di Tampoi kira-kira pukul 6.15 petang pada 16 Mac lalu.
 
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
 
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
 
Bagaimanapun majistret membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin, manakala 29 April depan bagi sebutan semula kes.

Pagi tadi media melaporkan OKS dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah sama daripada pertuduhan tersebut dan OKS akan dituduh semula di mahkamah pada tarikh lain.

Shaarmini mengenakan perintah DNAA itu selepas pihak pendakwaan mendapat arahan terbaharu untuk mengklasifikasikan kes Abdul Razak sebagai DNAA dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC), Putrajaya.

AGC kemudian dalam kenyataan memaklumkan perintah DNAA terhadap OKS dipohon susulan terdapat isu teknikal berkaitan pertuduhan yang difailkan terhadapnya semasa prosiding berlangsung pagi tadi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI