SETIU, 17 Januari - Seorang lelaki warga emas maut manakala empat yang lain termasuk isteri dan anaknya cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 68, Jalan Kuala Terengganu Kampung Raja berhampiran Kampung Beris Tokku Setiu.
Insiden yang berlaku pukul 8.30 pagi itu meragut nyawa Pauzai Sulaiman, 68 tahun yang bekerja sebagai buruh akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Setiu Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian tiga beranak itu dikatakan dalam perjalanan ke Rhu Sepuluh dari rumah mereka di Kampung Telok Perupok, Bachok, Kelantan.
"Kemalangan dikatakan berlaku selepas kereta dipandu Pauzai dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan dihadapannya tetapi gagal sebelum merempuh sebuah kenderaan utitili sukan SUV yang berada di laluan bertentangan.
"Kereta yang berada di belakang gagal mengelak lalu bergesel dengan kenderaan SUV terbabit," kata Mohd Zain dalam satu kenyataan.
Impak perlanggaran tersebut turut menyebabkan dua penumpang kenderaan SUV iaitu peniaga lelaki berusia 32 tahun dan remaja perempuan berumur 19 tahun masing-masing patah kaki kiri dan luka pada bahagian mulut.
Beliau berkata, pasangan suami isteri dan empat anak mereka menaiki kereta yang dalam perjalanan ke Kampung Raja, Besut dari Seri Pristana, Sungai Buloh, Selangor terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala kesemua yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.