SELANGOR, 29 Ogos- Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dalam satu Operasi Khas di sekitar Petaling Jaya, Selangor semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan berkata berdasarkan maklumat risikan selama dua minggu, pihaknya menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki sebagai 'dalang utama’.
Beliau berkata, hasil soal siasat, pasukan operasi telah membuat serbuan di sebuah premis kediaman dan berjaya menahan empat lagi lelaki warga Bangladesh yang dipercayai sebagai pembantu kepada ‘dalang utama’ atau pembantu sindiket.
"Semakan awal mendapati ‘dalang utama’ telah tinggal lebih masa manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
"Hasil siasatan, pihak imigresen berjaya merampas sebanyak 29 pasport disyaki palsu terdiri daripada 26 pasport Bangladesh, dua pasport Indonesia, satu pasport Myanmar, sebuah komputer riba, satu unit pencetak dan resit pembayaran secara dalam talian.
"Modus operandi sindiket yang dipercayai telah beroperasi selama empat bulan itu adalah menawarkan perkhidmatan kepada warga asing yang tidak memiliki pasport untuk mendapatkan dokumen FOMEMA.
"Sindiket menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mempromosikan perkhidmatan mereka dan kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM500 untuk setiap perkhidmatan," katanya.
Kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Putrajaya bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, seorang lelaki warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.