fb fb fb fb fb

Wanita terjun sungai ketika lari daripada operasi narkotik ditemukan lemas

KUANTAN, 22 Januari- Seorang wanita yang dipercayai terjun ke Sungai Belat berhampiran Jeti Tanjung Punai, di sini petang semalam ditemukan lemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat wanita berusia 42 tahun itu ditemukan pada pukul 11.36 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi dia dikatakan terjun untuk melarikan diri dari serbuan operasi narkotik di kawasan tersebut.

Kejadian disaksikan oleh seorang lelaki Rohingya yang cuba menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya kerana keadaan air pasang dan arus deras.

"Berdasarkan keterangan anak lelaki mangsa, wanita itu didapati mempunyai masalah ketagihan dadah dan kerap ke lokasi berkenaan untuk melepaskan gian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, untuk bedah siasat," katanya menerusi satu kenyataan.

(Anggota bomba menemukan mayat mangsa kira-kira 50 meter dari lokasi dia dikatakan terjun)

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani memaklumkan, pihaknya menemui mayat mangsa pagi tadi hasil operasi pencarian oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan K9.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kedua hari ini melibatkan seorang pegawai dan 16 anggota bomba termasuk dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan.

Media Baharu