fb fb fb fb fb

Wanita Myanmar cedera diserang gajah, mangsa kini dirawat di Hospital

Dua kes kematian telah dilaporkan akibat serangan gajah di Kelantan tahun lalu membabitkan lelaki tempatan dan warga Indonesia

GUA MUSANG, 9 Mei - Seorang wanita warga Myanmar cedera selepas diserang gajah di sebuah ladang getah, di sini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya menerima laporan daripada pejabat Ladang Teroka Tuan Sdn Bhd pada pukul 10 pagi, pada Rabu.

"Kejadian disyaki berlaku pada pukul 8 pagi Jumaat lalu. Jarak antara bandar Gua Musang dan ladang sejauh 130km. Perjalanan mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk tiba ke lokasi tersebut menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
 
"Siasatan untuk mencari lokasi dan mengesahkan kejadian telah dijalankan tengah hari semalam (Rabu) dan mereka dibawa ke lokasi kejadian oleh suami mangsa dan kerani ladang," katanya menerusi kenyataan.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
 
Tambah Mohamad Hafid, dua kes kematian telah dilaporkan akibat serangan gajah di Kelantan tahun lalu membabitkan lelaki tempatan dan warga Indonesia.
 
"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak melakukan provokasi," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN