IPOH, 12 Disember- Seorang wanita maut manakala seorang pelajar lelaki cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Kampung Changkat Kinding, di sini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mangsa merupakan seorang wanita berusia 59 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Viva manakala pelajar lelaki berkenaan berusia 17 tahun menunggang motosikal.
Katanya, JBPM Perak menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 7.17 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun bergegas ke lokasi kemalangan.
Jelasnya, setibanya di lokasi kejadian pihaknya mendapati pemandu wanita berkenaan dalam keadaan tersepit di tempat duduk dan telah meninggal dunia.
Turut berada dalam kereta sama ketika itu adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, namun kanak-kanak tersebut tidak mengalami kecederaan.
Tambahnya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak hospital, manakala yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.