KEPALA BATAS, 11 Mei - Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai dekat Jalan Lahar Kepar Penaga, di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada 7.39 pagi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Butterworth digerakkan ke lokasi kejadian.
“Anggota penyelamat yang melakukan penyelaman telah menemukan sebuah kereta jenis Perodua Alza di dasar sungai dan terdapat seorang mangsa perempuan berumur 40 tahun di dalam kenderaan berkenaan.
“Mangsa, Siti Hawa Mohd Isa berjaya dikeluarkan pada 9.55 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 10.06 pagi.