fb fb fb fb fb

Wanita hamil 9 bulan maut langgar panel elektrik

FOTO POLIS DAERAH SERI ALAM

PASIR GUDANG, 10 Januari- Seorang wanita hamil sembilan bulan maut selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 19.2 Lebuhraya Pasir Gudang, Johor, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku apabila mangsa, 28, yang merupakan penumpang kereta datang dari arah Tebrau menghala ke Pasir Gudang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar kotak panel elektrik di pembahagi jalan.

"Polis Daerah Seri Alam telah mengesan satu paparan yang telah dimuat naik melalui media sosial Facebook menerusi akaun Puben Rajandran dengan jumlah 534 perkongsian.

"Pihak polis mengesahkan telah menerima satu laporan melibakan kes kemalangan maut terbabit," katanya dalam kenyataan.

Mohd Sohaimi berkata, mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI). 

Sementara pemandu kenderaan tersebut iaitu wanita berusia 30 tahun mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke HSI untuk menerima rawatan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SITI AISHAH BINTI MD ISA