fb fb fb fb fb

Wanita ditipu pengarah syarikat bergelar 'Datuk'

KOTA BHARU, 11 Oktober- Seorang pengarah sebuah syarikat berpangkat 'Datuk' didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini, atas pertuduhan menipu seorang wanita sebanyak RM665,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Syafiq Pubalan Abdullah, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu, Noor Haslina Abdullah, 52, dengan memperdaya menggunakan dokumen palsu Syarikat Top Glove dan Hartalega untuk membuat tempahan sarung tangan getah yang tidak wujud sehingga mendorong beliau menyerahkan wang sebanyak RM45,000 ke dalam sebuah akaun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu mangsa sama dengan memperdaya wanita itu membuat tempahan dan bayaran sebanyak lima peratus deposit untuk 20,000 kotak sarung tangan yang tidak wujud dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM31,000.

Dua lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu mangsa yang sama dengan memperdaya wanita itu membuat bayaran untuk tempahan yang sama masing-masing sebanyak RM310,000 dan RM279,000.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Akademi Memandu KIST, Kandis, Bachok antara 27 Mei 2020 hingga 10 Julai 2020.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Taufikrullah Rusli dan Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 9 November depan.

(Pengarah syarikat berpangkat 'Datuk' didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu)

Media Baharu