KOTA BHARU, 31 Mei- Seorang wanita cedera selepas terkena renjatan elektrik selepas kediamannya terlibat dalam kebakaran di Kota Bharu Kelantan awal pagi tadi.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Kanan Bomba 2 Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada pukul 3.15 pagi berlaku kebakaran di Jalan Sultan Yahya Petra-Kg Lundang Kota Bharu.
Menurut beliau, tiga balai bomba dan penyelamat (BBP) iaitu BBP Kota Darulnaim, BBP Kota Bharu dan BBP Tunjong dengan 31 anggota termasuk dua pegawai bergegas ke lokasi kejadian.
Tiga buah rumah iaitu sebuah rumah jenis separuh kekal hangus sepenuhnya manakala dua lagi rumah jenis kekal musnah 70 peratus.
Dua buah kereta serta sebuah motosikal turut hangus dalam kebakaran awal pagi itu.
Manakala seorang wanita berusia 36 tahun didapati cedera selepas terkena renjatan elektrik dan mangsa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) 2 Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 4.45 pagi.