fb fb fb fb fb

Wan Junaidi, isteri tiba di Pulau Pinang bagi lawatan, percutian rasmi

Foto Facebook Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar

GEORGE TOWN, 1 Januari- Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi tiba di Pulau Pinang pada pukul 12.55 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi.

Menerusi hantaran di Facebook Wan Junaidi, ketibaan beliau bersama keluarga disambut Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan pegawai kanan Kerajaan Pulau Pinang.

"Sepanjang lawatan ini, Tun Pehin Sri dan Toh Puan Datuk Patinggi dijangka akan menyertai pelbagai program rasmi dan santai, termasuk mengunjungi beberapa destinasi pelancongan ikonik di Pulau Pinang.

"Lawatan ini turut dilihat sebagai simbol hubungan erat antara Sarawak dan Pulau Pinang," menurut hantaran itu.

Dalam pada itu Wan Junaidi turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Chow dan Kerajaan Pulau Pinang atas sambutan mesra serta layanan kepada beliau serta rombongan.

Selepas itu Wan Junaidi bersama keluarga dan rombongan berkesempatan singgah di sebuah kedai nasi kandar yang dikenali sebagai antara destinasi ikonik makanan tempatan.

Ia disifatkan sebagai usaha beliau dan keluarga mendekati budaya serta keunikan kulinari Pulau Mutiara.

Pada masa sama Ketua Menteri Pulau Pinang berharap lawatan tiga hari itu dapat mengeratkan silaturahim serta mengukuhkan lagi persahabatan sedia terjalin Sarawak dan Pulau Pinang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI