PUTRAJAYA, 21 Ogos- Dakwaan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengatakan media rasmi PKR, Suara Keadilan menyunting klip video ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah tindakan panik.
Tindakan berkenaan dilihat sebagai cubaan untuk mengalihkan kesalahan kepada pihak lain.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, beliau sendiri menonton siaran langsung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi media sosial.
"Apabila dia (Wan Ahmad Fayhsal) panik dengan kenyataan yang dikeluarkan, dia cuba menyalahkan orang lain. Saya melihat sendiri ucapan bekas Perdana Menteri itu. Wan Ahmad Fayhsal mungkin bertindak balas kerana panik, kerana sekali lagi, presiden Bersatu sedang menimbulkan kontroversi," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet di sini.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Pemuda Bersatu telah membuat laporan polis semalam terhadap portal Suara Keadilan dan mendakwa portal itu menyiarkan klip video yang disunting dengan niat jahat untuk memburukkan nama Muhyiddin.
Beliau juga mendakwa klip video itu disunting bagi menggambarkan Muhyiddin mempersoalkan tugas dan peranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Pada 19 Ogos lalu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap Muhyiddin kerana didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, royalti) ketika berkempen pada Pilhan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.