
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kira-kira 200 peserta menghadiri Program Tadarus dan Khatam Al-Quran sempena sambutan Nuzul al-Quran di PPR Seri Malaysia hari ini yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
- Seru penghayatan Al-Quran dalam kehidupan seharian selaras aspirasi Malaysia MADANI: menekankan nilai ihsan, hormat dan kesejahteraan masyarakat
- Membaca Al-Quran mendidik; memahami maksud ayat membentuk jati diri dan akhlak sebagai seorang muslim
- Merakamkan penghargaan kepada Persatuan Penduduk dan agensi terlibat; program diserikan dengan ceramah khas dan aktiviti memasak bubur lambuk
Beliau tiba pada pukul 10.30 pagi dan disambut oleh Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seri Malaysia, Nur Zaidy Maaini bersama wakil komuniti setempat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakannya.
Menurut beliau, program seumpama itu juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat dan kesejahteraan masyarakat melalui penghayatan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Dengan membaca Al-Quran ini, ia mendidik diri kita lebih lagi bila memahami dan menghayati maksud dalam ayat yang dibaca. Ia membentuk jati diri kita sebagai seorang muslim”, beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian.
Beliau turut mengikuti ceramah khas yang disampaikan oleh Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood sebelum meninjau aktiviti memasak bubur lambuk yang diadakan bagi memeriahkan program tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Penduduk PPR Seri Malaysia serta semua agensi dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.