KUALA LUMPUR, 28 November- Kerajaan Perpaduan sentiasa terbuka menerima kerjasama daripada ahli parlimen pembangkang, yang berhasrat menyokong agenda kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sokongan yang dizahirkan tidak bermakna menyertai parti, namun lebih kepada usaha meningkatkan kemampanan ekonomi dan mendepani cabaran kos sara hidup rakyat secara kolaboratif.
"Kesediaan saya untuk menerima kerjasama, walaupun tidak semestinya menyertai. Saya ucapkan terima kasih kepada YB Bukit Gantang kerana memberi sokongan terbuka. Seperti mana yang saya sebut, saya sudah buka rundingan dari awal untuk adakan perbincangan.
Bukan sahaja dari segi CSR, yang akan diselaraskan Timbalan Perdana Menteri II tetapi untuk mendengar pandangan-pandangan mereka secara konstruktif dan ini saya anggap ini satu kenyataan yang sangat penting. Saya alu-alukan kerjasama sekiranya diperlukan," kata Anwar di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri secara terbuka.
"Saya sendiri bersedia nak beri dan bantu kerajaan mewujudkan masyarakat Madani, menangani kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Dengan ini, Bukit Gantang mengisytiharkan sokongan kepada Tambun sebagai PMX dan gagasan kerajaan Madani," jelas Syed Abu Hussin Hafiz.