fb fb fb fb fb

Wajib gugur jawatan jika didapati terbabit salah laku rasuah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Februari -Anggota kabinet yang didapati terbabit dengan salah laku rasuah wajib digugurkan daripada jawatan mereka. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tindakan itu diambil bagi menyelamatkan negara daripada gejala rasuah.

Beliau turut mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap jemaah Menteri yang didapati terlibat dengan salah laku seumpama.

"Saya tanya di parlimen beri satu bukti menteri kalau ada rasuah. Tanya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kalau ada kita siasat dan dakwa badan kehakiman hukum, tetapi tidak ada. Setahun tiga bulan kita bangga dengan rakan-rakan kita beri imej pimpinan yang bersih daripada rasuah.

"Peringatan itu jelas. SPRM tidak mungkin kecualikan siasatan terhadap pimpinan yang ada pantau tender dan keputusan. Kalau ada saya akan tanya dan orang berkenaan wajib digugurkan," kata Anwar ketika berucap pada Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024, di Ibu Negara. 

Sementara itu Anwar berkata usaha membanteras rasuah merupakan agenda menyelamatkan negara dan bangsa. Beliau menegaskan tatakelola, intergriti dan antirasuah bukan agenda politik semata-mata namun, ia merupakan satu jaminan ke arah sebuah negara yang lebih baik pada masa depan. 

"Mana-mana negara yang menggagaskan perubahan dalam konteks kita madani, itu menghadapi risiko apatah lagi negara biasa dengan budaya rasuah dari atas ke bawahm Rasuah mejadi sistemik dalam negara. 

Kita ada pilihan dalam negara MADANI, untuk berundur atau melangkah terus membujur lalu melintang patah. Saya pilih membujur lalu melintang patah, ini sahaja jaminan masa depan," kata Anwar.

Beliau memuji keberanian dan ketangkasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap individu yang terpalit gejala rasuah sehingga menyebabkan ketirisan dan kerugian terhadap negara dan rakyat. 

NAC Summit 2024 adalah anjuran Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai usaha meningkatkan pencegahan rasuah dan tatakelola korporat organisasi Malaysia.

Lebih 1,300 peserta, terdiri daripada penyedia latihan, majikan, persatuan industri, dan agensi kerajaan menyertai sidang kemuncak tersebut. 

Ia dilihat satu platform membekalkan organisasi dengan pengetahuan menyeluruh untuk menangani rasuah, mempromosikan amalan perniagaan etika dan membentuk kerangka tata kelola yang kukuh.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

TETITIA YUSOFF