fb fb fb fb fb

Wacana Ilmu Madani 2025, tampil lebih ramai intelektual Islam antarabangsa

Foto FB Menteri

PUTRAJAYA, 13 Disember- Program Wacana Ilmu Madani yang bakal menjadi program tahunan Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan dirancakkan lagi dengan jemputan tokoh-tokoh intelektual Islam antarabangsa sepanjang tahun 2025 nanti.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, wacana yang turut dianjurkan oleh pejabatnya dan Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) itu bertujuan untuk meletakkan peranan agama dalam kehidupan masyarakat moden serta pembangunan dasar-dasar negara.

Wacana yang telah mula dianjurkan sejak Julai tahun ini, terhasil daripada pengenalan konsep Madani bagi membuka ruang kepada perbahasan secara kritis, ilmiah, matang dan terbuka terhadap konsep-konsep utama yang menjadi teras kepada sesuatu pandangan alam.

"Jadi, insya-Allah tahun depan kita sudahpun merencanakan beberapa tokoh daripada peringkat antarabangsa dan juga tokoh ternama yang pelbagai untuk kita rancakkan lagi wacana intelektual aras tinggi di agensi agama.

Kita akan bawa beberapa nama yang tokoh-tokoh besar yang pelbagai bidang dan juga pelbagai kepakaran. Program usrah Madani ini kita nak fokus kepada wacana intelektual aras tinggi yang betul-betul mencetuskan idea dan gagasan yang lebih besar untuk melakukan perubahan oleh agensi agama.

Maknanya, kita fokus kepada semua warga agensi agama yang 14 itu dan juga negeri-negeri tapi kita buka juga kepada orang awam," kata Dr. Zulkifli Hasan kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Usrah Madani 5.0 bertajuk State of The Ummah And the Way Foward bersama Profesor Dr. Anis Ahmad di Kompleks Islam Putrajaya.

Profesor Dr. Anis Ahmad merupakan seorang tokoh ilmuwan Pakistan yang merupakan pakar dalam perbandingan agama dan beliau juga adalah Naib Canselor Universiti Antarabangsa Riphah, Islamabad, Pakistan.

Orang ramai juga boleh menyertai wacana tersebut secara dalam talian melalui laman sosial rasmi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM