fb fb fb fb fb

VOA kepada pelancong China dan India, pertingkat ekonomi Langkawi - LADA

Foto Hiasan

LANGKAWI, 2 Disember- Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyambut baik pengumuman kerajaan berkaitan pengecualian visa kemasukan (VOA) kepada pelancong China dan India.

Keputusan kerajaan membenarkan kemasukan bebas visa warga China dan India untuk penginapan 30 hari adalah langkah penting ke arah menggiatkan semula ekonomi dan sektor pelancongan pulau peranginan itu.

Timbalan Pegawai Eksekutif LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, dengan membenarkan kemasukan itu juga, ia dapat mengurangkan kesan akibat pandemik dan menggiatkan semula sektor pelancongan.

"Dengan adanya VOA ini, kita mengharapkan lebih ramai pelancong-pelancong dari India dan China ke Langkawi sekali gus bakal menyumbang kepada kemasukan pelancong dan pertumbuhan ekonomi Langkawi ke arah lebih baik.

Pelancong dari China dan India adalah pasaran tradisi kepada Langkawi dan insya-Allah kita akan meningkatkan promosi di China dan India supaya jumlah pelancong ke Langkawi, lebih baik pada tahun hadapan," kata Wan Kamarul kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta Langkawi International Half Marathon 2023 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, pagi ini.

Lebih 2,600 peserta dari 31 buah negara mengambil bahagian pada acara kali ini.

Penganjuran kali kedua itu menyaksikan penyertaan peserta antarabangsa meningkat kepada 180 peserta.

Peserta antarabangsa yang terbanyak terdiri dari negara Indonesia dan juga Filipina.

Langkawi International Half Marathon 2023 terdiri daripada tiga kategori iaitu 21 kilometer bagi separuh marathon serta larian 10 kilometer dan lima kilometer.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM