fb fb fb fb fb

Video tular: Polis siasat kejadian lelaki hulur "sesuatu" kepada dua anggota polis

(Tangkap layar video tular)

JOHOR BAHRU, 21 September- Polis membuka kertas siasatan susulan video tular mendakwa seorang lelaki dipercayai pemilik kedai memberikan "sesuatu" kepada dua anggota unit kereta peronda polis (MPV) yang sedang meronda di Kulai, Johor, dua minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan sedang dibuat dan polis tidak berkompromi jika melibatkan salah laku pegawai serta anggota.

"Kedua-dua (individu) kita dah rakam percakapan (antara) anggota polis dan sebagainya, (serta) ada beberapa keterangan lain, yang menunjukkan bahawa tidak ada pemberian wang dalam (kejadian) ini.

"Walaubagaimanapun, perbuatan yang mungkin boleh menjadi salah laku kepada anggota terbabit akan kita siasat," katanya kepada media selepas istiadat penganugerahan pingat jasa pahlawan negera kontinjen Johor Siri 1/2023 di Dewan Datuk Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.

Sepanjang tahun ini, polis Johor telah membuka sebanyak 119 kertas siasatan atas salah laku pegawai dan anggota polis.

Daripada jumlah tersebut, seorang pegawai kanan dan 10 anggota telah digantung tugas serta ditamatkan perkhidmatan, manakala seorang pegawai dan 13 anggota ditahan kerja atas kesalahan yang dituduh di mahkamah.

(Kamarul Zaman Mamat)

Media Baharu