KUALA LUMPUR, 7 April- Syarikat pengeluar kasut Vern’s memohon maaf secara terbuka terutama yang beragama Islam berhubung logo yang didakwa seakan-akan mirip kalimah Allah pada tapak kasut keluarannya.
Menerusi satu hantaran di Facebook, syarikat itu juga memaklumkan bahawa reka bentuk logo yang dihasilkan tidak berniat untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama, kepercayaan dan mengharapkan belas ihsan untuk memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.
"Pihak kami telah mengambil langkah segera berhenti jual dan bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.
"Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan," katanya menerusi hantaran itu.
Logo pada tapak kasut keluaran syarikat itu adalah 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.
Bagaimanapun pengurusan Vern’s mengakui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.
Syarikat itu turut memuat naik gambar kasut yang didakwa menjadi ilham kepada logo itu.