fb fb fb fb fb

Uzbekistan teroka kerjasama baharu dengan Malaysia

Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev mengadakan lawatan ke Proton Tanjung Malim, Perak

KUALA LUMPUR, 17 Januari- Uzbekistan berhasrat meneroka peluang kerjasama baharu dengan Malaysia termasuk dalam bidang automotif pada masa hadapan.

Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev berkata, terdapat potensi besar yang belum diterokai antara kedua-dua negara, terutama dalam hubungan ekonomi dua hala.

Jelasnya, rundingan dengan beberapa pemain industri tempatan untuk mewujudkan projek pelaburan bersama sedang berjalan lancar.

Menjelang akhir tahun ini, tiga syarikat tempatan bakal memulakan operasi di Uzbekistan, berbanding 36 syarikat ketika ini.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Proton Tanjung Malim bagi membincangkan prospek kerjasama dalam industri automotif.

Pertemuan bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah diharap memberikan hasil positif dan manfaat kepada kedua-dua negara.

Sementara itu, Proton dalam kenyataannya memaklumkan, sebagai pengeluar peralatan tulen, OEM antarabangsa, syarikat sentiasa mencari rakan kongsi untuk meluaskan jangkauannya.

ROSLINA BINTI DIN