SINTOK, 26 Mac- Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Uniutama Management Holdings Sdn. Bhd. (U-M-H-S-B) akan menjadi universiti pertama menggunakan produk kemudahan pembiayaan ‘GajiNow’ dan ‘EduNow’ yang dijangka dilancarkan pada tahun ini.
Ia adalah hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UMHSB dengan syarikat kewangan digital, Orpheus Capital Sdn. Bhd. (OC).
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kerjasama dua entiti itu akan menggalakkan penggunaan teknologi dalam pengurusan kewangan yang dijangka memberi impak positif melalui pembiayaan kepada pembekal, pekerja, pelanggan dan pelajar terutamanya yang menghadapi masalah kewangan.
Menurutnya, ia adalah sebagai usaha menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).
Katanya, pembiayaan itu akan membantu menyediakan platform digital yang lebih mudah dan cepat dalam pengurusan kewangan, secara tidak langsung meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pertumbuhan ekonomi seimbang dan mampan berteraskan teknologi.
Usaha sama ini juga dilihat dapat membantu pelajar yang menghadapi kekangan kewangan dan pada masa sama menerusi MoU ini juga UUM dapat merapatkan lagi hubungan antara industri, universiti dan syarikat tempatan.
"Pastinya kita berusaha bekerjasama erat dengan industri dalam usaha bersama kita untuk melihat bahawa daya saing dan kompetitif apa juga yang kita usahakan dapat kita realisasikan bersama, sesungguhnya bukan sekadar ratusan juta, malahan billion ringgit kerajaan telah peruntukkan untuk bangunkan UUM dan amat mendukacitakan sekiranya kita tak boleh jadi sebahagian daripada cerita kebangkitan, kejayaan negara kita Malaysia," kata Prof Dr. Haim Hilman.
Beliau berkata demikian selepas majlis MoU tersebut di Dewan Seri Angsana 2, EDC UUM, Sintok, Kedah.
UMHSB diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Mohamad Rafi Kamis, manakala OC diwakili Pengarah Eksekutifnya, Muhammad Hamudi A. Khalid.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif OC, Datuk Badrul Hassan Mohamed Kassim berkata, UUM akan menjadi universiti pertama yang akan menggunakan dua produk tersebut sebaik sahaja proses akhir selesai dengan UMHSB.
Pihaknya menyediakan dana untuk ‘GajiNow’ dan 'EduNow' yang akan memudahkan staf dan pelajar UUM untuk mendapat kemudahan pembiayaan daripada OC pada kadar segera.
Untuk 'GajiNow' permohonan maksimum adalah sebanyak RM2,000 manakala 'EduNow' masih lagi di peringkat perbincangan jumlah yang akan
dihadkan untuk permohonan.
(Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah)