fb fb fb fb fb

UUM sedia program dan acara menarik sempena Hari Pengasasan ke-40

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mengiringi Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar bagi merasmikan Majlis Pelancaran dan Sambutan Hari Pengasasan UUM ke-40 tahun / Foto UUM

SINTOK, 15 Februari – Warga Universiti Utara Malaysia (UUM) diseru supaya bersedia untuk menerima dan meraikan tetamu sempena beberapa acara sukan yang bakal berlangsung di UUM.

Naib Canselor, Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM menjadi tuan rumah kepada beberapa acara sukan sebagai salah satu program bersempena dengan sambutan 40 tahun penubuhan universiti itu.

“Pada 6 hingga 14 September 2024, Program Sukan Institusi Pengajian Tinggi atau SUKIPT yang dihadiri lebih 10,000 atlet dan staf Institusi Pengajian Tinggi (IPT) akan berlangsung di UUM. Selain SUKIPT, UUM juga menjadi tuan rumah kepada penganjuran Kejohanan Sukan Asasi Malaysia 2024 (SAM24) pada awal bulan Mac nanti dan Sukan Kebangsaan LHDN pada bulan September nanti,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran dan Sambutan Hari Pengasasan UUM ke-40 Tahun di Pusat Sukan universiti pagi tadi.

Majlis pelancaran berlangsung meriah dihadiri warga UUM dan dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar.

Pada sebelah petang pula berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) UUM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Acara sempena Hari Pengasasan ke-40 UUM diteruskan pada sebelah malam dengan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat di Masjid Sultan Badlishah.

Sempena 40 tahun penubuhan UUM, sebanyak 40 program utama dirancang sepanjang tahun 2024 dan bagi memberi pengalaman manis kepada pengunjung, semua warga universiti diharap dapat meraikan tetamu dengan kesopanan tinggi dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka.

UUM ditubuhkan pada 16 Februari 1984 merupakan satu-satunya universiti awam yang mengkhusus di dalam bidang pengurusan dengan cita-cita untuk melahirkan pemimpin berperwatakan holistik dan berbakti kepada komuniti global.

Penubuhan UUM berasaskan kepada 3 objektif iaitu sebagai pemacu pendidikan pengurusan, menjadi pusat rujukan pengurusan dan pemangkin kepada pembangunan wilayah utara.

Antara pencapaian cemerlang UUM pada 2023 adalah menduduki Tempat Pertama Universiti Awam di THE World University Rankings bagi universiti bawah umur 50 tahun.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD