fb fb fb fb fb

UUM cari mekanisme terbaik pastikan harga makanan tidak bebankan pelajar

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed meninjau salah satu premis di dalam kampus UUM yang menjual Menu Siswa Rahmah dan Menu Rahmah /FOTO UUM

SINTOK, 13 Disember- Pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) sentiasa mengadakan perbincangan dengan pengusaha makanan di dalam kampus bagi mengekalkan harga makanan yang rendah.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, perbincangan secara berterusan itu bermatlamat mencari mekanisme terbaik bagi mengekalkan harga makanan yang tidak membebankan mahasiswa.

Antaranya, menurunkan kadar sewaan kepada pengusaha makanan di dalam kampus UUM dan melanjutkan kontrak kepada mereka sebagai penghargaan mengekalkan jualan makanan pada harga rendah.

“UUM menggunakan konsep Menu Siswa Rahmah dan Menu Rahmah di semua 17 pusat jualan makanan di dalam kampus. Menu Siswa Rahmah mengenakan bayaran serendah RM3.50 untuk set nasi, lauk ayam atau ikan, sayur dan minuman. Manakala, Menu Rahmah yang dipopularkan kerajaan, pada harga RM5.00.

“UUM mementingkan isu harga makanan kerana ia merupakan salah satu tanggungjawab universiti kepada mahasiswa memandangkan sebahagian besar pelajar kita datang dari keluarga B40,” jelas Dr. Ahmad Martadha.

UUM buat masa ini, merupakan universiti awam yang paling tinggi menerima pelajar dari keluarga B40 berbanding universiti lain di negara ini.
Walaupun harga dijual kepada mahasiswa adalah rendah, UUM tetap mementingkan kualiti makanan.

Bagi tujuan berkenaan, pemantauan dan pemeriksaan sentiasa dilakukan ke atas premis bagi melihat kualiti makanan dan harga yang dikenakan kepada mahasiswa kekal murah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD