
JOHOR BAHRU, 3 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini melancarkan Dapur Siswa MADANI, satu inisiatif yang menyediakan akses makanan secara bersistematik dan berterusan kepada mahasiswa, khususnya pelajar B40 dan golongan asnaf.
- UTM lancar Dapur Siswa MADANI untuk menyediakan makanan berterusan kepada mahasiswa, terutamanya pelajar B40 dan asnaf.
- Program bermula dengan penyediaan nasi dan lauk di Masjid UTM ditaja Unit Zakat, Pusat Islam UTM mengikut jadual.
- Inisiatif sebahagian Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI dan disokong agihan zakat serta bantuan Hari Raya untuk pelajar asnaf.
Menurut kenyataan UTM, program berkenaan merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di universiti awam di negara ini, sebagai usaha menangani peningkatan kos sara hidup mahasiswa.
“Buat permulaan, program Dapur Siswa MADANI menyediakan makanan ruji iaitu nasi berserta lauk kepada pelajar B40 tempatan di Masjid UTM dengan tajaan Unit Zakat, Pusat Islam UTM, mengikut jadual tertentu,” menurut kenyataan rasmi universiti.
Majlis pelancaran diadakan serentak dengan penyerahan sumbangan agihan zakat dan bantuan Aidilfitri sempena Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Perdana UTM 2026 di Masjid Sultan Ismail.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azam, selaku wakil Menteri Pendidikan Tinggi.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Selatan, yang menghimpunkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memperkukuh nilai kepimpinan, kebersamaan dan kesejahteraan mahasiswa.
Bersempena majlis itu, UTM turut mengagihkan zakat 2025 berjumlah RM1.8 juta serta bantuan Hari Raya melalui Dana Wakaf UTM sebanyak RM5,000, yang memberi manfaat kepada pelajar asnaf universiti berkenaan.
“Sumbangan ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar menjelang Syawal, selain memastikan kelangsungan pengajian mereka terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Perdana UTM 2026, yang menghimpunkan kira-kira 2,000 mahasiswa termasuk pemimpin muda IPT di Johor, turut menerima sokongan penajaan daripada Yayasan Zarith Sofiah Negeri Johor dan Yayasan Perkasa Siswa.