fb fb fb fb fb

Utamakan kemakmuran negara, enggan layan permintaan cuba gugat kestabilan politik- Sultan Ibrahim

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Februari- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan iltizam untuk memikul tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan jujur dan ikhlas, selain meneruskan pemerintahan yang mengutamakan kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

Baginda bertitah, pemerintahan kali ini sama seperti Yang di-Pertuan Agong terdahulu bersandarkan dasar dan peraturan ditetapkan.

"Saya adalah orang baru di sini dan belum sampai satu bulan memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, banyak perkara yang saya perlu belajar.

"Ucapan saya hari ini, lebih halus kalau dibandingkan dengan ucapan saya di Johor, saya bagi peluang supaya tidak ada yang tersinggung, tapi akan datang saya harap berjaga-jaga", titah Baginda pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen.

Dalam titah sulung selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, Seri Paduka Baginda juga menyeru semua pihak untuk menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk ketika ini.

Dengan tegas Baginda bertitah, tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik.

"Ingin saya tegaskan di sini, yang saya tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

"Semua mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk. Kalau hendak bermain politik tunggu masa pilihan raya umum akan datang", titah Baginda.

Dalam pada itu, Baginda bertitah agar seluruh ahli parlimen memberi tumpuan membela nasib rakyat, bukan berdasarkan kepentingan parti politik dan diri sendiri. 

ROSLINA BINTI DIN