Usahawan Malaysia sertai FOODEX Japan 2026, sasar RM80 juta potensi jualan

Foodex Japan 2026 di Tokyo Big Sight, Jepun

PUTRAJAYA, 11 Mac – Sebanyak 31 syarikat serta tiga koperasi tempatan menyertai pameran makanan dan minuman antarabangsa Foodex Japan 2026 di Tokyo Big Sight, Jepun bermula 10 hingga 13 Mac, dengan sasaran potensi jualan mencecah RM80 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperluas jaringan ekonomi dan meningkatkan daya saing PKS tempatan di peringkat antarabangsa.
  • Jepun pasar an premium yang menitikberatkan standard kualiti tinggi; kejayaan buka peluang eksport dan tingkatkan reputasi produk Malaysia.
  • Penyertaan selaras pendekatan ABCD KUSKOP serta melibatkan agensi kerajaan dan perbincangan kerjasama strategik dengan ASEAN-Japan Centre.

Penyertaan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluas jaringan ekonomi, perdagangan dua hala serta meningkatkan daya saing Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan di peringkat antarabangsa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim berkata, Jepun merupakan antara pasaran premium dunia yang menitikberatkan standard kualiti tinggi.

Kejayaan menembusi pasaran tersebut bukan sahaja membuka peluang eksport yang lebih luas, malah mampu meningkatkan reputasi dan daya saing produk Malaysia di pentas global.

Tambah beliau, penyertaan itu selaras dengan pendekatan ABCD KUSKOP, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran yang menjadi tunjang kepada usaha kementerian dalam memperkasa usahawan tempatan.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bersama beberapa agensi kementerian termasuk SME Corp Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Penyertaan itu turut melibatkan kerjasama beberapa agensi lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Dalam masa sama, delegasi Malaysia turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung ASEAN-Japan Centre (AJC), Dr Hirabayashi Kunihiko, bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dua hala antara Malaysia dan Jepun pada masa hadapan.