fb fb fb fb fb

Usaha SPRM bawa pulang menantu Muhyiddin perlukan masa kerana perbezaan undang-undang

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membawa pulang ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, serta peguamnya, Mansoor Saat yang menjadi buruan mengambil sedikit masa berikutan perbezaan undang-undang dengan beberapa negara asing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata walaupun pelbagai saluran kerjasama antarabangsa telah digerakkan, termasuk melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan INTERPOL, bantuan masih sukar diperoleh daripada beberapa pihak luar.

“Memang ada kerjasama termasuk dengan INTERPOL dan agensi lain. Namun, terdapat negara yang tidak dapat memberikan bantuan kerana undang-undang mereka tidak membenarkan kerjasama dalam kes yang melibatkan hukuman sebat.

“Oleh sebab itu, negara terbabit tidak dapat membantu mengekstradisi atau mengesan individu berkenaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri sesi dialog bertajuk 'Private Sector Compliance and Culture of Integrity' di ibu negara.

Menurut Tan Sri Azam, negara berkenaan tidak mengiktiraf hukuman sebat sebagai bentuk hukuman yang sah, menyebabkan pihak berkenaan tidak dapat membantu Malaysia dalam proses ekstradisi mahupun pengesanan suspek.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Mansoor masih bebas di luar negara dan berstatus pelarian, manakala Adlan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dikesan berada di luar negara.

Kedua-dua individu itu diburu SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan data biometrik pekerja asing yang dilaksanakan di sebuah kementerian.

ROSLINA BINTI DIN