MEMBAKUT, 5 Julai - Kelab Seni Islam wajar diwujudkan di sekolah sebagai platform mengekalkan seni warisan budaya.
Langkah itu bagi memperkenal dan memupuk kecintaan terhadap kesenian Islam dalam kalangan generasi muda.
Exco Agama dan Pendidikan negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah berkata usaha menyemarakkan kesenian Islam seperti kompang, berzanji dan marhaban perlu menggunakan pendekatan lebih segar dan mesra belia.
"Kita sudah berikan variasi yang sesuai dengan anak muda tanpa menyingkirkan asas daripada nilai kesenian asal."
"Disamping itu kita berusaha mencari guru yang sesuai untuk anak muda ini dan kita akan mewujudkan kelab Kompang, kelab Berzanji dan Merhaban di peringkat sekolah rendah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Mahrajan Kesenian Beduk, Kompang, Nasyid, Berzanji dan Marhaban bersempena dengan Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara ke-13 di sini.