
KUALA LUMPUR, 10 Januari – Usaha memerangi rasuah kekal sebagai cabaran utama yang memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara bersih dan berintegriti.
- Perangi rasuah memerlukan usaha berterusan kerana ia masalah endemik dan sistemik.
- Kerajaan memantau rapat anggota Kabinet dan jentera pentadbiran untuk pastikan akauntabiliti.
- Tiada kompromi terhadap integriti; tindakan tegas dijalankan oleh agensi penguatkuasaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, bagi memastikan tadbir urus dan akauntabiliti sentiasa dipatuhi, kerajaan memantau dengan rapi anggota Kabinet serta keseluruhan jentera pentadbiran.
“Kami telah meneliti semua kes besar, termasuk bekas perdana menteri dan bekas menteri. Kerajaan juga memantau dengan teliti anggota Kabinet serta jentera pentadbiran. Namun, kes rasuah masih wujud kerana rasuah bukan sahaja endemik, tetapi juga sistemik. Ia memerlukan usaha berterusan,” jelas Datuk Seri Anwar.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara, Kuala Lumpur.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal integriti tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mana-mana pihak.
Datuk Seri Anwar turut merakamkan penghargaan kepada agensi penguatkuasaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen dan agensi lain atas komitmen serta tindakan tegas yang diambil terhadap setiap kes yang dilaporkan.