fb fb fb fb fb

Urus masuk pekerja asing saat-saat akhir punca KLIA sesak

Gambar fail warga asing di KLIA

KUALA LUMPUR, 30 Mei - Tindakan majikan yang membawa masuk pekerja mereka pada saat-saat akhir punca kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Menurut Ruslin, ini berikutan kerajaan menetapkan 31 Mei (esok) ini sebagai tarikh akhir kepada majikan untuk membawa masuk pekerja asing mereka.

Oleh itu, beliau menggesa majikan kepada pekerja asing dengan segera menyelesaikan urusan pemeriksaan bagi mengelak kesesakan di balai ketibaan.

"Setiap pekerja asing yang masuk ke Malaysia perlu melalui proses semakan dan pengesahan pemeriksaan kesihatan mereka di KLIA.

"Sebagai perbandingan, dalam keadaan biasa, ketibaan harian pekerja asing adalah di antara 500 hingga 1,000 orang dan mula meningkat sehingga 2,500 orang sehari pada 22 Mei lalu dan 4,000 hingga 4,500 sehari pada 27 Mei," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, bagi memastikan keselesaan penumpang-penumpangn di KLIA terjamin pihaknya dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menambah bilangan kaunter untuk mempercepatkan proses semakan dan pengesahan.

"Antaranya menambah bilangan pegawai imigresen untuk menguruskan ketibaan pekerja asing yang ramai.

"Tindakan lain adalah menguruskan kebajikan seperti menyediakan makan dan minum untuk pekerja asing yang berada di terminal,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN