TANJUNG MALIM, 5 November- Dua peserta dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS) mencatat nama selaku juara dan naib juara bagi Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Piala Perdana Menteri 2023.
Kejayaan itu dizahirkan menerusi Gulzoda Utkurova sebagai juara manakala Sarvinoz Akramova Abduvohid Qizi ditempat ke-2, bagi kategori antarabangsa.
Kedua-dua mereka sedang mengikuti Program Mobiliti Antarabangsa Inbound Tanpa Kredit UPSI-TSUOS bagi semester satu sesi 2023/2024.
Pertandingan dilangsungkan di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bermatlamat ke arah pemerkasaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa serta menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global.
“Akademia UPSI di bawah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) berjaya membuktikan bahawa pelajar antarabangsa seperti di Uzbekistan meminati bahasa Melayu dan menguasainya dengan baik di pentas pidato yang berprestij itu,” kata Md Amin dalam satu kenyataan.
Beliau melahirkan kegembiraan atas kemenangan peserta kategori antarabangsa itu, hasil bimbingan seorang pensyarah Bahasa Melayu UPSI iaitu Dr Sabariah Sulaiman.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin menganggap kejayaan itu membanggakan UPSI yang berjaya melatih dua peserta berkenaan selama beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, FBK berjaya melatih peserta dari Uzbekistan State World Languages University (UzWSLU) iaitu Nargiza Ortikova untuk muncul johan PABM tahun 2021 dan Qurbanov Ozad yang menjadi johan pada 2019.
Dekan FBK, Profesor Madya Dr Mazura @Mastura Muhammad turut gembira dengan pencapaian akademia FBK yang memberi komitmen yang tinggi di Uzbekistan untuk memberi latihan intensif sehingga persembahan mereka memukau juri persembahan.
"Usaha pengembangan Bahasa Melayu di Uzbekistan turut mendapat sokongan kuat dari pihak Kedutaan Besar Malaysia di Uzbekistan," jelasnya dalam kenyataan.
Kejayaan tiga tahun berturut-turut itu adalah hasil daripada strategi dan teknik yang digarap hasil pengamatan terhadap kekuatan dan kelemahan seseorang peserta.
Beliau berterima kasih kepada kedua-dua buah universiti yang sedia menerima jalinan kerjsama dengan UPSI khususnya dalam bidang berkaitan Bahasa Melayu.