KUALA LUMPUR, 8 Mac- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuhkan hubungan dua hala dengan School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London dengan menganjurkan program pendidikan kebudayaan dengan tema Malaysia Cultural Arts Programme 2024: The Bright Colour of Malaysia di universiti berkenaan Rabu lalu.
Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman ketika berucap merasmikan program itu berkata program seumpamanya memberi impak dalam mengeratkan hubungan dua hala di antara UPSI dan SOAS.
Beliau berkata program kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan melalui Majlis Seni Sarawak (MSS) bertujuan untuk menyampaikan pengetahuan tentang kekayaan seni dan budaya etnik Sarawak selain mengangkat warisan budaya Sarawak kepada khalayak antarabangsa di SOAS.
Sempena program itu, katanya, diadakan perkongsian kepakaran, pertukaran idea, dan pameran artifak budaya, termasuk pakaian tradisional, demonstrasi permainan rakyat serta menikmati kek lapis Sarawak.
“UPSI sebagai sebuah institusi pendidikan amat komited dalam menyebarluaskan ilmu berkaitan seni dan budaya di Malaysia", katanya.
Memorandum persefahaman (MoU) pada Mei 2023 oleh UPSI yang diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah dimeterai untuk mempromosi dan meluaskan bahasa dan budaya Melayu di Eropah.
“MoU antara kedua-dua pihak memberi fokus terhadap perkhidmatan serta kerjasama dalam penyelidikan, hal pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi bagi tujuan pembangunan dan pengembangan ilmu dalam bidang Bahasa Melayu.
Melalui MoU tersebut katanya, UPSI bakal menumpukan usaha kepada perkongsian budaya, nilai-nilai dan tatasusila alam Melayu.
Selain itu, menurut Dr Md Amin, UPSI menempatkan dua pensyarah iaitu Prof. Madya Dr. Norliza Jamaluddin dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi dan Prof. Madya Dr. Samsudin Suhaili dari Fakulti Sains Sosial sebagai sarjana pelawat di SOAS.
Mereka mengambil inisatif menganjurkan Malaysia Cultural Arts Programme 2024: The Bright Colour of Malaysia dengan kerjasama MSS dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia London.
Sebelum persembahan Ketua Pengarah Eksekutif MSS, Dayang Mariana Abang Bolhassan memberi taklimat kepada penonton berkaitan elemen seni dari segi busana, alat muzik, gerak tari dan falsafah di sebalik setiap tarian yang dipersembahkan.
Antara tarian yang dipersembahkan oleh pelajar dari kelas bimbingan seni tari MSS dalam lingkungan usia 12 hingga 14 tahun ialah Joget Melayu, Ngajat, Alu-alu, Rejang Búh, Kenjet Ngeleput dan Tarian Rampai. Persembahan diiringi alat muzik gong, tawak dan sape oleh pemuzik MSS.
Sementara itu Ketua Jabatan School of Languages, Cultures and Linguistics, SOAS, Dr. Benjamin Mugath berkata program yang dianjurkan bertepatan dengan hasrat SOAS bagi membolehkan para pelajar berpeluang untuk menimba ilmu daripada pakar seni dan budaya serta dapat mengamati tarian etnik secara langsung.