fb fb fb fb fb

UPSI hulur bantuan banjir di Kelantan dan Perak

ResQ Team bersedia untuk bergerak ke Tumpat dari Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim, Perak

TANJUNG MALIM, 29 November- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil memberikan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Kelantan dan Perak sekali gus menjadi antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) terawal berbuat demikian untuk musim banjir kali ini.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff mengarahkan pasukan ResQ Team UPSI digerakkan ke Tumpat, Kelantan bagi menyertai misi bantuan.

"Keberanian mereka untuk bertindak dan membantu adalah bukti nyata bahawa nilai kemanusiaan adalah perkara yang paling utama dalam setiap usaha menyelamatkan nyawa," katanya.

Misi tersebut diketuai oleh Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong bersama tiga sukarelawan. Mereka menggunakan jentera terdiri daripada sebuah bot, lori dan kenderaan pacuan empat roda.

Selain misi menyelamat, pasukan ResQ juga menghulurkan sumbangan pakaian kepada penduduk memerlukan melalui pasukan Preloved Shoppe bawah Pusat Kaunseling UPSI.

Di daerah Batang Padang, Perak, Pusat Kaunseling UPSI turut menyantuni penduduk dengan memberikan bantuan psikologi asas dan pakaian di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru, Sungkai.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata misi berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu penduduk tetapi juga menegaskan komitmen ResQ Team UPSI dalam memberikan sokongan psikososial kepada mereka yang terjejas.

"Ini adalah contoh terbaik bagaimana kesatuan dan komitmen dapat memberi impak besar dalam situasi penuh cabaran," ujar beliau.

SITI AISHAH MD ISA