UPM garis enam agenda transformasi, sasar jadi universiti berimpak global menjelang 2029

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Sri Jailani Johari / UPM

SERDANG, 7 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) menggariskan enam agenda transformasi utama bagi memastikan institusi itu terus relevan serta memberi impak kepada pembangunan negara menjelang 2029.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh peranan UPM sebagai pemacu penyelesaian nasional melalui penyelidikan, inovasi dan penyumbangan nyata kepada masyarakat dan ekonomi.
  • Menjadi peneraju keterjaminan makanan dan agroteknologi serta hab rujukan bagi ekosistem halal dan bioteknologi serantau.
  • Meningkatkan kualiti akademik, memperkukuh kerjasama industri termasuk TVET, dan mengukur impak penyelidikan untuk manfaat negara.
  • Memperkasakan tadbir urus, kemampanan kewangan, kesejahteraan warga kampus dan penglibatan alumni sebagai rakan strategik.

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Sri Jailani Johari berkata universiti tidak boleh lagi bergantung kepada kejayaan silam, sebaliknya perlu bergerak lebih pantas, strategik dan berani dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Menurutnya, universiti perlu memainkan peranan lebih besar sebagai pemacu penyelesaian nasional, pemangkin ekonomi masa depan serta pembina tamadun masyarakat melalui ilmu, penyelidikan dan inovasi.

“Universiti bukan sekadar pusat ilmu, tetapi institusi amanah awam yang mempunyai tanggungjawab besar kepada negara.

“Penyelidikan, inovasi dan kepakaran universiti mesti memberi impak nyata kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya demikian ketika menyampaikan amanat dalam Bengkel Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Suku Keempat UPM yang berlangsung di Dewan Senat universiti berkenaan di sini.

Tambahnya, UPM juga perlu berfungsi sebagai hab sinergi strategik yang menghubungkan industri, komuniti dan rakan global dalam satu ekosistem ilmu bagi menghasilkan penyelesaian kepada cabaran negara dan dunia.

Menurut Jailani, tempoh tiga tahun akan datang sehingga 2029 merupakan fasa penting bagi menentukan hala tuju masa depan universiti itu.

“UPM mempunyai sejarah kecemerlangan yang kukuh dalam bidang pertanian, sains dan teknologi.

“Namun dalam landskap dunia yang semakin mencabar, kita tidak boleh lagi bernostalgia dengan kejayaan lalu. Kita mesti bergerak lebih pantas, lebih strategik dan lebih berani,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggariskan enam agenda transformasi utama UPM menjelang 2029, antaranya memperkukuh peranan universiti dalam keterjaminan makanan dan agroteknologi.

Agenda lain termasuk meningkatkan kualiti akademik serta kerjasama industri termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), membangunkan ekosistem halal dan bioteknologi, memperkasa pengantarabangsaan serta penyelidikan berimpak, mengukuhkan tadbir urus dan kemampanan kewangan universiti, serta meningkatkan kesejahteraan warga universiti dan penglibatan alumni sebagai rakan strategik.

Beliau berkata agenda transformasi itu selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang menekankan peranan universiti sebagai pemacu pembangunan negara melalui penyelidikan berimpak dan penghasilan graduan yang bersedia menghadapi masa depan.

Menurutnya, menjelang 2029 UPM menyasarkan untuk muncul sebagai peneraju keterjaminan makanan negara, hab rujukan ekosistem industri halal dan bioteknologi serantau serta universiti berimpak global yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat.

Tema amanat itu, “Mentransformasi Ilmu, Membina Negara Bangsa,” turut menegaskan peranan universiti dalam memastikan ilmu dan penyelidikan diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar kepada cabaran negara.

Amanat dan agenda transformasi tersebut juga selari dengan kerangka True North UPM yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Naib Canselor UPM, Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Jailani berkata beliau yakin dengan kepimpinan universiti serta komitmen seluruh warga UPM, institusi itu mampu memperkukuh kedudukannya sebagai universiti strategik negara dalam membina masa depan Malaysia.