fb fb fb fb fb

Program Cilik Pertanian, pupuk minat kanak-kanak dalami bidang pertanian

Foto UPM

SERDANG, 30 Januari- Program Cilik Pertanian eDU-PARK@UCTC UPM anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) mampu memupuk minat generasi muda dalam bidang pertanian.

Ketua Program Muhammad Syafiq Kamal berkata 28 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 15 tahun telah mengikuti program tersebut yang dianjurkan baru-baru ini.

Jelasnya, menerusi program itu, para peserta didedahkan mengenai anatomi haiwan, selain memahami kepentingan pertanian sebagai sumber makanan dan membina kemahiran baharu dalam bidang tersebut.

"Pelbagai aktiviti menarik disediakan dalam program ini antaranya aktiviti semaian biji benih, membuat kokedama, hidroponik, dan pembuatan baja organik cecair dengan bimbingan pegawai UPM. Peserta turut berpeluang melihat sendiri haiwan-haiwan yang telah diawet, mempelajari anatomi haiwan ternakan dan mempelajari cara menyediakan sampel sel darah haiwan ternakan serta melihat sel darah dengan menggunakan mikroskop," kata Muhammad Syafiq menerusi kenyataan.

Tambahnya, universiti bukan hanya tempat untuk mahasiswa semata-mata, malah ia milik semua termasuk kanak-kanak untuk mendapatkan ilmu dan pendedahan awal kanak-kanak dengan suasana kampus juga dapat menyuntik semangat mereka untuk menyambung pelajaran di UPM kelak.

Rata-rata para peserta dan ibu bapa teruja dengan program tersebut.

"Program ini sangat bagus dan aktiviti yang dijalankan di sini memberikan pengetahuan baharu serta menimbulkan minat untuk saya mendalami ilmu pertanian. Saya juga dapat menambah kenalan baharu, selain bertukar pandangan mengenai aktiviti di sini," kata peserta, Nurain Syakirah Mohd Zain.

"Terima kasih UPM dan tenaga pengajar yang terlibat dengan program ini. Saya berharap UPM akan terus menganjurkan program berkenaan yang bukan sahaja memberi ilmu, malah memberi keseronokan kepada kanak-kanak," Ibu peserta, Shararina Ab Rahman.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM