MEKAH, 26 Mei - Lebih 40 jemaah haji Malaysia telah mendapatkan rawatan di Unit Pergigian Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Mekah sejak ia dibuka pada minggu lalu.
Kebanyakkan kes yang dirujuk adalah berkaitan masalah tampalan gigi, ulser dan perkhidmatan cucian gigi.
Pegawai pergigian, Dr Siti Umairah Razali, 33, berkata, unit itu bersedia menyantuni dan merawat 31,600 jemaah sepanjang musim haji tahun ini.
Katanya, setakat ini klinik pergigian itu menawarkan hampir kesemua perkhidmatan rawatan pergigian yang ada di tanah air.
"Ada juga yang demam apabila sampai di sini. Apabila diperiksa didapati ada gigi yang rosak. Jadi kita beri rawatan yang diperlukan.
"Sebab kita beri perkhidmatan yang sama, saya bekerja di klinik pergigian primer (pesakit luar) dekat sini pun umpama rawatan primer juga.
"Kita utamakan rawatan-rawatan kecemasan sama juga cuma dekat sini kita lebih kepada pesakit yang buat temu janji sebab kita nak mengatur kenderaan untuk pesakit datang, jadi (kena) ambil masa sedikit," katanya pada sidang media di Pusat Rawatan Tabung Haji, di sini.
Tambahnya lagi, antara cabaran beroperasi di Mekah termasuklah kekangan tenaga kerja dan peralatan selain kesukaran mendapatkan ubat yang sesuai ini kerana harganya yang agak mahal.
Dr Umairah turut menasihati jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri termasuk mulut, agar mereka kekal fokus beribadah terutama menjelang hari-hari kemuncak nanti.
Katanya, Unit Pergigian yang diwujudkan di setiap musim haji sejak 2014 itu dibuka setiap hari.
Katanya, jemaah boleh mendapatkan rawatan dengan tiga waktu operasi seawal pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari, 4.30 petang hingga 6.30 petang dan dari pukul 8 malam hingga 10 malam.