ARAU, 14 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memainkan peranannya dalam melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang Elektronik dan Kejuruteraan Elektrik (E&E), seiring dengan keperluan industri berteknologi tinggi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata UniMAP, sebagai salah satu universiti di bawah Malaysia Technical University Network (M-TUN), bukan sahaja menawarkan program berkaitan E&E, malah turut menubuhkan fakulti kecerdasan buatan (AI) yang diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“UniMAP berada di barisan hadapan sebagai pusat TVET untuk memacu pengwujudan 60,000 jurutera yang diperlukan dalam pasaran. Majlis TVET telah meluluskan peruntukan RM1 juta, di mana RM200,000 digunakan bagi mengendalikan kursus berkaitan elektronik dan elektrik, manakala bakinya diperuntukkan untuk pembelian perkakasan serta latihan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke pusat TVET UniMAP di Pauh Putra, di sini.
Menurut beliau, peruntukan tersebut bertujuan memastikan pelatih memperoleh sijil profesional, sekali gus meningkatkan peluang mereka mendapatkan imbuhan gaji lebih tinggi sama ada di syarikat tempatan mahupun antarabangsa.
Ketika ini, UniMAP mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 98.8 peratus.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata kerajaan terus memperkukuhkan pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Menengah Agama berasrama sebagai persediaan tenaga kerja masa depan bagi M-TUN.
Menurutnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi untuk melahirkan lebih ramai jurutera dan tenaga profesional teknikal, khususnya dalam bidang elektronik, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
“UniMAP adalah antara universiti yang memainkan peranan penting dalam usaha ini. Saya telah mengkoordinasikan mesyuarat dengan M-TUN dan M-TUN Plus bagi memastikan pengeluaran tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan, di mana negara masih memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 jurutera dalam pelbagai bidang,” katanya.
Usaha tersebut dijangka memastikan negara mempunyai tenaga kerja mahir yang mencukupi bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang.