
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Marhamah Rosli
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Langkah memperkasa undang-undang sedia ada sedang diteliti bagi memastikan majikan swasta turut mematuhi perintah Mahkamah Syariah berkaitan pembayaran nafkah, termasuk melalui mekanisme potongan gaji.
- BSK melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan mekanisme pembayaran nafkah dilaksanakan dengan baik.
- BSK dan JKSM menjalankan analisis kes berkala untuk menilai cabaran serta menambah baik undang-undang dan penguatkuasaan.
- Sesi libat urus bersama majikan diadakan untuk memastikan penyaluran nafkah kepada pihak yang berhak konsisten.
- Beliau menyeru majikan terutama yang beragama Islam menjadi pemudah cara supaya perintah dipatuhi dan nafkah dilaksanakan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Marhamah Rosli, berkata usaha itu dilaksanakan menerusi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi memastikan hak bekas isteri dan anak-anak terus terpelihara.
Menurut beliau, BSK dan JKSM kini sedang mengkaji penambahbaikan terhadap undang-undang sedia ada bagi memastikan majikan dapat memberikan kerjasama melalui saluran perundangan yang lebih jelas dan berkesan.
“Selain itu, BSK juga melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan mekanisme pembayaran nafkah kepada bekas isteri dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Setia Salehuddin Saidin di Dewan Negara yang membangkitkan isu kerjasama majikan swasta dalam melaksanakan perintah mahkamah berkaitan nafkah.
Menurut Marhamah, antara pendekatan yang dilaksanakan termasuk sesi libat urus bersama majikan bagi memastikan potongan gaji dapat dibuat secara konsisten untuk menyalurkan nafkah kepada pihak yang berhak.
Dalam masa sama, BSK turut menjalankan analisis kes secara berkala bagi menilai cabaran yang timbul serta menambah baik undang-undang dan prosedur penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Beliau turut menyeru majikan, khususnya yang beragama Islam, supaya memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam memastikan perintah mahkamah dipatuhi dan tidak menjadi penghalang kepada pelaksanaan tanggungjawab nafkah terhadap bekas isteri serta anak-anak.
Tambahnya, kerjasama semua pihak termasuk majikan amat penting bagi memastikan kebajikan keluarga yang terkesan akibat isu tunggakan nafkah terus terbela.