
KUALA NERUS, 2 Februari – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperoleh kemudahan berteknologi tinggi, Wave Circulation Flume Channel (WCFC) yang pertama seumpamanya di Malaysia sekali gus meletakkan universiti itu pada kedudukan strategik sebagai pusat rujukan dalam bidang kejuruteraan marin dan maritim.
- WCFC pertama di Malaysia mempertingkat keupayaan penyelidikan marin berteknologi tinggi di UMT.
- Kemudahan menyokong pengajaran dan program utama seperti teknologi maritim dan senibina kapal.
- Membuka peluang kolaborasi industri, agensi kerajaan dan rakan antarabangsa dalam kejuruteraan marin.
- Menyokong pelbagai kajian eksperimen termasuk rintangan kapal, PMM, tambatan, sedimen dan tenaga boleh diperbaharui.
Naib Canselor UMT, Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri berkata, ia dilengkapi dengan kecerdasan penjanaan ombak, peredaran arus, penjanaan angin, keupayaan penundaan serta aliran terkawal dalam satu sistem eksperimen tunggal.
“Kemudahan WCFC ini bukan sahaja mempertingkat keupayaan penyelidikan berimpak tinggi UMT, malah menjadi platform penting untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri maritim dan luar pesisir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan rasmi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim ke kemudahan WCFC yang turut diiringi Timbalan Ketua Setiausaha KPT di UMT di sini.
Kemudahan bersepadu itu turut membuka ruang lebih luas kepada kolaborasi penyelidikan bersama industri, agensi kerajaan serta rakan antarabangsa dalam bidang kejuruteraan marin, pesisir pantai dan teknologi lautan.
Pentauliahan WCFC menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur akademik dan penyelidikan bertaraf dunia UMT, khususnya dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi marin.
Kemudahan tersebut diperoleh melalui peruntukan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menumpukan pembangunan fasiliti penyelidikan termaju selaras dengan keperluan negara dan cabaran industri masa hadapan.
Dari sudut akademik, kemudahan tersebut menyokong secara langsung pengajaran dan pembelajaran bagi beberapa program utama UMT, termasuk Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Senibina Kapal) serta program ‘Dual Degree’.
Selain itu, WCFC turut dibuka untuk penggunaan bersama fakulti dan pusat tanggungjawab lain di UMT bagi menggalakkan kolaborasi antara disiplin merangkumi kejuruteraan, sains marin dan alam sekitar.
Dalam aspek penyelidikan dan perundingan, kemudahan itu berupaya menyokong kajian seperti ujian rintangan kapal, eksperimen Planar Motion Mechanism (PMM), analisis sistem tambatan, pengangkutan sedimen, kejuruteraan pesisir dan hidraulik serta penyelidikan tenaga boleh baharu marin.
Pentauliahan WCFC dilihat sebagai satu lonjakan besar terhadap keupayaan eksperimen universiti, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan kejuruteraan maritim dan lautan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.