fb fb fb fb fb

UMNO kutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail Haniyeh

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR, 1 Ogos- Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan secara kejam bekas Perdana Menteri dan pejuang kebebasan Palestin, Ismail Haniyeh di Tehran.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembunuhan tersebut membuktikan kebaculan dan kegilaan zionis Israel yang berterusan melakukan genosid ke atas rakyat Palestin.

Beliau berkata UMNO bertekad untuk terus mendokong perjuangan pembebasan Palestin.

"Kami sentiasa bersama dengan saudara kami di kalangan Hamas, Fattah dan seluruh rakyat Palestin yang sekian lama ditindas serta dirampas hak mereka oleh zionis Israel.

“UMNO melalui wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia akan terus memperjuangkan hak dan menuntut keadilan di pentas antarabangsa agar kekejaman serta sifat kebinatangan Israel dihukum sekeras-kerasnya oleh masyarakat dunia termasuklah negara-negara yang ikhlas cintakan keamanan dan keadilan,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, UMNO akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta.

Asyraf Wajdi berkata tindakan itu diambil sebagaimana perjanjian yang dimeterai oleh wakil rakyat yang telah meninggalkan dan membelakangi parti.

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat MKT UMNO malam tadi.

Mesyuarat juga memutuskan untuk seluruh Ahli MKT UMNO berkampung dan menyelaras gerak kerja jentera parti dan Barisan Nasional di setiap Pusat Daerah Mengundi N43 Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dalam pilihan raya kecil yang akan bermula dengan Penamaan Calon pada 3 Ogos 2024.

ROSLINA BINTI DIN