BENTONG, 15 Januari- Prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk di beberapa kawasan di Pahang yang dilanda banjir, Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah menghantar bantuan barangan keperluan dan makanan kepada mereka.
Tiga buah lori digunakan untuk membawa bekalan barangan untuk diedarkan kepada penduduk terjejas banjir bermula Khamis lalu hingga hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata bantuan meliputi tilam, bantal, makanan kering, beras, peralatan keperluan diri dan keperluan kanak-kanak.
Beliau berkata, kesemua barangan tersebut disumbangkan oleh bahagian-bahagian UMNO di Kedah untuk diserahkan kepada penduduk terjejas khususnya di Maran dan Bentong.
Selain bantuan, pihaknya turut melakukan gotong royong membersihkan beberapa kawasan yang dipenuhi lumpur dan melakukan pembaikan sistem pendawaian elektrik yang rosak akibat banjir.
Pihaknya amat bersimpati dengan tragedi bencana banjir yang menimpa penduduk di kawasan terlibat dan berharap mereka tabah dan sabar menghadapi dugaan yang menimpa.