
KANGAR, 23 Februari – Berkonsepkan membeli makanan dan minuman daripada peniaga Bazar Ramadan sebelum disedekahkan kepada pengunjung, inisiatif Buy2Give dilaksanakan UMNO Bahagian Kangar dan diselaraskan Pemuda UMNO Bahagian Kangar sempena Ramadan tahun ini.
- Program Buy2Give beli makanan dari peniaga Bazar Ramadan untuk disedekah kepada pengunjung, dilaksanakan oleh UMNO Bahagian Kangar dan Pemuda UMNO.
- Peruntukan RM500 bagi setiap Bazar Ramadan dikunjungi; program ini sudah menyantuni dua lokasi setakat ini.
- Inisiatif bertujuan kongsi rezeki, sokong peniaga, pupuk perpaduan dan bantu golongan kurang berkemampuan sempena Ramadan.
Program yang memasuki tahun kelima penganjurannya itu tertumpu di Bazar Ramadan melibatkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi seluruh Parlimen Kangar.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dalam satu kenyataan berkata, program berkenaan dilaksanakan dengan menjelajah ke lima lokasi Bazar Ramadan bagi setiap DUN dengan membeli makanan dan minuman daripada peniaga sebelum diagihkan kepada pengunjung.
“Sebanyak RM500 diperuntukkan bagi setiap Bazar Ramadan yang dikunjungi bermula 21 Februari lalu. Setakat ini, dua lokasi telah disantuni iaitu Bazar Ramadan Taman Kemajuan dan Bazar Ramadan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra,” katanya.
Beliau berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial UMNO Bahagian Kangar dalam berkongsi rezeki sempena Ramadan bersama masyarakat setempat, selain menyokong peniaga Bazar Ramadan.
Tambahnya, inisiatif itu juga bertujuan memupuk semangat perpaduan dan saling membantu antara satu sama lain, di samping menyedarkan masyarakat bahawa tidak semua berpeluang menyediakan juadah berbuka puasa khususnya golongan kurang berkemampuan.
Program Buy2Give merupakan sebahagian daripada lebih 40 program yang dirangka UMNO Bahagian Kangar sepanjang Ramadan kali ini.