fb fb fb fb fb

UMNO akan mohon rayuan Agong beri pengampunan kepada Najib

(Datuk Seri Najib Tun Razak)

KUALA LUMPUR, 7 April - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini membuat ketetapan untuk membuat rayuan pengampunan bagi bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan keputusan sebulat suara tersebut dibuat pada mesyuarat bulanan MKT UMNO.

"Setelah diperincikan, MKT UMNO merafak sembah menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda dengan kerendahan diri, memohon ihsan Tuanku untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kami juga bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta dengan memorandum yang ditandatangani oleh seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 bahagian termasuk Wanita dan sayap-sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO,” kata beliau dalam kenyataan tersebut, hari ini.

(Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki)

Tambah Asyraf, MKT UMNO mengambil maklum rasa dukacita dan keresahan ahli-ahli di akar umbi terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung dengan kes SRC.

Menurut beliau, keresahan itu berdasarkan keputusan yang dilihat tidak adil, seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan.

Media Baharu