KUALA KANGSAR, 8 Julai- UMNO akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu dalam masa terdekat.
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi sandaran bagi hasrat itu setelah UMNO memperoleh jumlah undi kedua tertinggi selepas calon parti lawan memenangi kerusi itu.
"Menurut Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, formula dia kalau kerusi itu kita kalah (semasa pilihan raya) tetapi kita berada dalam kedudukan nombor dua (jumlah undi diperoleh), maka dalam pilihan raya akan datang kerusi itu wajib kita rampas semula," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini.
Pada PRU15, calon Bersatu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menang kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan memperoleh 14,380 undi, manakala calon dari Barisan Nasional (BN) Maslin Sham Razman mendapat 10,814 undi.
Selain Kuala Kangsar, Bersatu telah mengemukakan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul untuk meminta supaya kerusi parlimen di Gua Musang, Jeli, Bukit Gantang, Tanjung Karang dan Labuan dikosongkan.
Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, pembahagian kerusi antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) untuk PRU16 akan dibincangan secara terperinci dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi bagi memastikan tiada pertindihan antara kedua-duanya.